Bayi perlu bantuan kewangan...



ALOR SETAR: Sepasang suami isteri merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan masalah jantung dihidapi bayi lelaki mereka yang dianggar mencecah RM45,000. 

Haraz Naufal Muhamad Noor Syuhada yang baru berusia enam hari, disahkan mengalami masalah saluran mengepam darah kanan tidak berfungsi. Bapanya, Muhamad Noor Syuhada Yusoff, 36, dari Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, buntu memikirkan nasib anak keduanya itu kerana tidak mampu mencari wang untuk kos pembedahan. "Saya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan, saya tidak mampu menyediakan duit sebanyak itu untuk pembedahan anak," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pendapatan itu digunakan untuk menampung kehidupan bersama isteri, Norsyuhada Abdullah, 28, dan anak sulung, Muhammad Nazmi Danish tiga tahun. 

Muhamad Noor Syuhada berkata, penyakit anaknya dikesan jururawat dua hari selepas dilahirkan, iaitu kira-kira jam 10 pagi Rabu lalu apabila muka dan badan bayi malang itu bertukar kebiruan ketika berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). "Pemeriksaan mendapati Haraz Naufal mengalami masalah jantung yang memerlukan pembedahan segera. 

"Saya kini bimbang dengan keadaannya kerana tidak mampu menanggung kos pembedahannya," katanya. Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi keluarga itu di talian 012-5654827.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/174464
loading...

0 Response to "Bayi perlu bantuan kewangan..."

Post a Comment