“Apa yang berlaku semua salah saya, Emma cukup baik dan sempurna” – Kamal Adli

SUDAH putus dengan kekasih hati. Atau, cinta kembali berkembang? Kamal Adli nampaknya lebih senang berteka teki, zip mulut. Katanya kepada Hits, dia mahu diberikan masa untuk hubungan ini bergerak dengan jalannya yang tersendiri.

Apabila semuanya sudah pasti, dia sendiri akan keluar menjelaskan keadaan sebenar. Tetapi buat masa ini, jika ada yang bertanyakan status dirinya sebagai kekasih hati Emma Maembong, dia sendiri masih runsing untuk berikan jawapan sama ada solo atau tidak.




“Apa yang boleh saya katakan jangan dengar kata orang. Biar semuanya keluar dari mulut saya sendiri. Soal solo atau tidak, masih berkasih atau tidak, hanya masa akan tentukan.


“Saya berdiam diri, bukan bermakna saya sembunyikan apa-apa. Ada perkara yang tidak boleh dikongsi,” katanya kepada HITS.

Dalam suatu sudut Kamal, 30, dilihat bersungguh-sungguh mahu memberitahu dia sangat menghargai hubungan yang terjalin dengan Emma. Malah tidak berselindung memberitahu sedang sedaya upaya membetulkan apa sahaja yang berlaku kini.

“Saya menghargai hubungan ini. Sebab itu saya kata beri masa buat kami. Ada perkara yang mahu saya perbetulkan.

“Dalam masa yang sama saya tidak mahu orang di luar sana terus mengambil peluang menokok tambah kisah ini. Sebab itu saya sangat berhati-hati beri kenyataan, saya tidak mahu keruhkan keadaan,” katanya.

Tidak mahu Emma dibebankan dengan soalan hubungan dan dipersalahkan, sang kekasih adalah seorang gadis yang cukup sempurna di matanya.

“Apa-apa yang berlaku, semuanya salah saya. Saya tidak mahu ada orang lain cuba kaitan perkara ini dengan orang luar atau Emma sendiri.

“Emma tak salah. Dia adalah seorang gadis yang baik, dan saya sangat selesa dengan dia sepanjang kami berhubungan,” katanya.

Nazrief tak goda Emma

Nama pelakon Nazrief Nazri juga secara tiba-tiba dikaitkan dengan kisah keretakan hubungan Emma dan Kamal selepas menjayakan drama Nasi Minyak Kuah. Menjelaskan hal sebenar, lelaki berusia 25 ini melihat dia sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Malah agak mustahil untuk dia bercinta dengan Emma memandangkan mereka baru sahaja berkenalan.

“Tidak logik sangat. Saya baru kenal Emma, tidaklah serapat mana. Tolong jangan kelirukan orang,” katanya.

Tidak melihat gosip seperti ini mampu membantu namanya dikenali, dia tidak punya niat ke arah itu.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku antara Kamal dan Emma, saya tak ambil peduli pasal mereka.

“Secara kebetulan kami mengenakan pakaian yang sama ke sebuah majlis baru-baru ini, dan saya muat naik gambar itu dengan tujuan untuk mempromosikan drama baharu kami,” katanya jujur.

Tidak melihat cinta sebagai sesuatu yang perlu buat masa sekarang tumpuannya hanya kepada ibu dan kerjayanya.

“Ibu bapa saya baru sahaja bercerai, saya ada tanggungjawab lain. Ketika ini fokus saya adalah ibu. Sebabnya saya adalah anak tunggal, jadi tanggungjawab itu berat. Soal cinta saya tidak terburu pun, kerjaya pula masih banyak yang perlu saya buktikan,” katanya.

Fathia bukan orang ketiga

Sekali lagi Kamal memberi amaran. Jangan cuba-cuba kaitkan orang luar dengan apa yang berlaku. Malah mendengar kisah kononnya Fathia Latiff sebagai punca keretakan hubungan dengan Emma juga dianggapnya kisah kelakar.

“Saya tidak tahu kenapa perkara ini timbul, tetapi saya minta jangan tuding kesalahan kepada orang lain selain saya seorang sahaja.

“Saya tidak akan sorokkan apa-apa jika semuanya sudah jelas, cuma buat masa ini belum masanya saya kongsi. Jadi jangan buat spekulasi sendiri,” katanya.

Mengharapkan yang terbaik buat dia dan Emma, apa yang mampu dia pinta adalah terus berdoa kepada Yang Maha Esa. Sebab bagi lelaki ini dia percaya dengan ketentuan jodoh.

“Saya harapkan doa buat hubungan ini, jadi kepada peminat kami harapkan yang terbaik. Semuanya kini bergantung kepada jodoh,” kata Kamal.

Cemburukan Fathia? Tak Logik

DALAM perbualan dengan HITS semalam, Emma secara jujur mengakui, dia begitu terkilan dengan sikap pelakon jelita, Fathia Latiff. Tidak lagi menyembunyikan rasa bengkak di hatinya, penjelasan Fathia kepada media sebelum ini membuatkan Emma keliru.

“Saya bukan mahu melenting pun, cuma saya keliru dengan kenyataan yang dikeluarkan Fathia. Lepas tu dia tuduh pula saya tidak profesional kerana cemburukan dia. Logik ke saya macam itu?” tanya Emma, geram.

Menurut Emma, tidak pernah sekalipun dia memberitahu orang bahawa hubungannya bermasalah dengan Kamal atas sebab cemburu kepada pelakon wanita lain.Lagipun, sebagai pelakon Emma cukup faham dalam soal perhubungan antara pemain watak di dalam sesebuah karya, maka tidak ada sebab untuk dia cemburu.

“Tidak logik saya mahu cemburu kerana Kamal berlakon dengan dia. Sebab sebelum ini Kamal banyak berlakon dengan ramai lagi pelakon wanita lain. Jadi saya keliru bagaimana situasi kononnya saya cemburu dan menyebabkan hubungan dengan Kamal bermasalah,” katanya lagi.

Tidak menolak hubungannya dengan Kamal agak terkesan kerana kenyataan yang dikeluarkan Fathia, ia tidak akan jadi sebegini jika rakannya itu bertanya terlebih dahulu.

“Sepatutnya Fathia tanyalah saya dahulu. Sebab tidak pernah timbul isu orang ketiga langsung. Saya juga tidak tahu bagaimana dia boleh tergamak buat kenyataan itu,” katanya.

Tidak mahu terus mengeruhkan keadaan, wanita kacukan ini memberitahu masalah percintaannya dengan Kamal Adli  bukan gara-gara kehadiran orang ketiga.

“Keadaan hubungan saya dengan Kamal sebenarnya seperti biasa, sebelum ini juga kami tidak begitu beria bercerita soal cinta.

“Saya tegaskan di sini, kami berdua melepaskan hubungan ini kepada jodoh. Jika benar ada jodoh antara kami maka atas pelamin nanti dialah orangnya,” katanya.

Selepas kisah cintanya dengan Zizan Razak putus di tengah jalan pada 2014, Kamal dilihat sebagai lelaki yang sesuai untuk Emma.

Malah saat ini juga, Kamal dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu memastikan hubungan ini terus kekal dan memberikan mereka masa depan yang gembira.

Semoga ada perdamaian buat pasangan kekasih ini. Bila sudah hilang rajuk, cepatlah fikir tentang perkahwinan ya.

Sumber: Utusan
loading...

0 Response to "“Apa yang berlaku semua salah saya, Emma cukup baik dan sempurna” – Kamal Adli"

Post a Comment