Chong Wei menangis lagi



DUA kekalahan berturut-turut yang dialami jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik membayangi penampilan Malaysia pada Temasya Beijing 2008 dan London 2012.





Chong Wei menangis lagi


Jika kekalahan pertama di Beijing mengundang air mata jutaan rakyat Malaysia, kekalahan di London lebih meremukkan hati peminat di tanah air, apatah lagi dia tumpas kepada lawan yang sama, Lin Dan dari China.


Tiada kata-kata dapat menggambarkan kekecewaan Chong Wei saat dia dinafikan pingat emas dalam final 2012 selepas kecundang 21-15, 10-21, 19-21.


Linangan air mata mewakili perasaannya ketika itu, malah sejurus tamat perlawanan dengan wajah sugul Chong Wei hanya mampu berkata: “Maafkan saya, saya tahu rakyat Malaysia kecewa. Saya sudah melakukan yang terbaik.”


Biarpun peminat meletakkan harapan menggunung kepada Chong Wei, namun umum mengetahui perjalanan pemain itu ke London penuh dengan ranjau. Dia berdepan ujian besar pada 2012, daripada kecederaan tangan, bahu, buku lali hinggakan masalah hati dan perasaan.


Hatinya diuji dengan masalah keluarga melibatkan bapanya ketika keadaan buku lali pula sangat membimbangkan hingga ramai yang meragui keupayaannya untuk membawa pulang kejayaan. Sebab itu, Chong Wei tampil dengan keazaman tinggi untuk meraih emas bagi menutup segala keraguan, malangnya Lin Dan terlalu hebat.


Empat tahun sebelumnya di Beijing, Chong Wei langsung tidak terlawan apabila kalah mudah 12-21, 8-21 di depan ribuan penyokong China.


Kisah sedih Chong Wei dan Olimpik tidak akan dilupakan oleh peminat badminton tanah air. Namun, dalam penampilan terakhir di Rio 2016, dia yang bakal menginjak usia 34 tahun pada 21 Oktober ini masih berputus asa dan akan cuba sekali lagi untuk memburu emas yang paling didambakan.


Di sebalik kekecewaan Chong Wei, London 2012 bagaimanapun meninggalkan kenangan indah buat Pandelela Rinong apabila muncul satu-satunya atlet bukan badminton berjaya meraih pingat buat Malaysia di Olimpik.


Tidak meletakkan harapan tinggi saat menjejakkan kaki ke London, Pandelela bagaimanapun melakar kejutan dengan meraih pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform individu. Dia merupakan atlet wanita pertama Malaysia meraih pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu.


Sejurus tamat pertandingan, bintang kelahiran Sarawak itu mendedahkan, hatinya sebenarnya tidak ‘terlalu yakin’ ketika membuat persembahan kerana sedar dia bersaing dengan 11 penerjun terbaik dari seluruh dunia.


Sementara itu, penampilan Malaysia di Athens 2004 tidak meninggalkan kenangan yang manis apabila kontinjen negara pulang tanpa sebarang pingat.


Sumber: Utusan Online

No comments

Powered by Blogger.