Raja Thailand Mangkat: TV Malaysia Jadi Pilihan Sebab…


BANGKOK – Ramai pelancong asing waima rakyat Thailand sendiri dilaporkan terpinga-pinga apabila mendapati siaran televisyen negara itu langsung bertukar menjadi warna hitam putih.

Suasana tidak ubah seumpama zaman sebelum siaran warna diperkenalkan stesen televisyen seluruh dunia pada 1975 lalu apabila kesemua program menerusi saluran tempatan disiarkan dalam format dua warna berkenaan.
Ini termasuk rangkaian saluran asing apabila rancangan tiba-tiba digantikan dengan warna hitam putih sejak lewat Khamis susulan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej yang berjaya memerintah Thailand selama 70 tahun.
Operator rangkaian televisyen diarahkan untuk menggantikan semua program disiarkan mereka dengan siaran hanya berwarna hitam putih selama sebulan, kata jurucakap kerajaan, Leftenan Jeneral Sansern Kaewkamnerd.
thaitv1
Sebaik sahaja berita kemangkatan Raja Bhumibol diumumkan secara rasmi, semua stesen tempatan bertukar kepada rancangan mengenai kisah raja itu yang juga bergelar Rama IX sepanjang tujuh dekad pemerintahannya.
Thailand ada enam saluran teresterial iaitu Channel 3, TV5, Channel 7, Channel 9, NBT11 dan Thai PBS selain 800 saluran satelit yang dipancarkan masing-masing menerusi operator tempatan TrueVisions, CTH, GMMZ dan PSI.
Situasi tidak diduga tersebut menyebabkan stesen televisyen negara jiran khasnya Malaysia yang dapat ditonton dengan jelas di wilayah selatan negara ‘gajah putih’ itu menjadi pilihan ramai penonton buat sementara waktu.
Malaysia memiliki tujuh saluran teresterial iaitu TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9 danAlHijrah yang dipancarkan berdekatan sempadan Thailand antaranya dari Gunung Jerai, Kedah; Bukit Larut, Perak dan Telipot, Kelantan.

Baca: Raja Mangkat – Thailand Berkabung Selama Setahun

thainews
Rangkaian saluran satelit termasuk stesen antarabangsa terkenal BBC, CNN dan Al Jazeera turut menggantikan siaran mereka selepas itu dengan menyiarkan semua program ke udara sama dengan stesen penyiaran tempatan.
Arahan perkabungan itu bermakna pengguna tidak boleh akses kepada berita bebas lain menerusi televisyen Thailand. Laman web berita domestik masih menyiarkan bahan masing-masing tetapi dengan warna hitam putih.
Manakala akhbar tempatan sama ada harian berbahasa Inggeris terkenal, The Bangkok Post dan The Nation selain surat khabar berbahasa Thai berpengaruh antaranya Thairath dan Matichon juga diterbitkan dalam hitam putih.
Akses portal Internet namun tidak terjejas. Kebanyakan laman web bahasa Thai termasuk forum sembang popular Pantip.com turut bertukar warna kepada hitam putih sebagai tanda berkabung. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments

Powered by Blogger.