Kucing Terbiar Heret Bulu 2 Kilogram Diselamatkan

CHICAGO – Seekor kucing yang terbiar diabaikan sehingga bulunya menjadi lebat dan panjang, berpintal-pintal dan begitu kotor, akhirnya berjaya diselamatkan daripada nasib malangnya itu.

Malah lebih menyedihkan, bulu kucing itu tumbuh hingga seberat 2.27 kilogram atau dua kali ganda saiz haiwan tersebut sendiri, hingga si comel sukar bergerak ke sana sini, menurut portal antarabangsa Huffington Post.
Kucing bernama Sinbad itu, yang asalnya berwarna putih, ditemui dalam keadaan bulunya yang coklat kekuningan dan menjijikkan itu pada bulan lalu, di aras bawah tanah sebuah rumah milik seorang lelaki tua di Chicago.
Persatuan kebajikan haiwan, Anti-Cruelty Society di Amerika Syarikat (AS) memuat naik gambar-gambar Sinbad menerusi laman Facebooknya dan menulis, seorang pekerja pembersihan yang menghubungi pihaknya.
kucing3
Dia melaporkan tentang penemuan seekor haiwan mamalia yang sudah sekian lama tidak pernah diendahkan oleh pemiliknya itu sendiri, lapor Huffington Post.
“Bulunya agak berpintal-pintal, tidak dibasuh, serta diselaputi habuk dan sampah sarap. Kawasan bawah tanah rumah yang didiaminya pula sejuk dan kotor,” menurut Anti-Cruelty Society.
Pengurus perhubungan awam persatuan tersebut, Colette Bradley, memberitahu majalah People bahawa pemilik kucing itu adalah seorang lelaki tua yang mengalami masalah mental dan tidak lagi dapat menjaga kucing tersebut.
Lelaki itu kemudian bersetuju menyerahkan kucingnya kepada persatuan tersebut. Sinbad akhirnya tampak segak dengan bulu yang putih bersih dan bebas bergerak ke sana sini, setelah dua kali bulunya dipotong dan dimandikan.
kucing1
Beberapa hari setelah diselamatkan, kucing baka Parsi itu dilihat sudah aktif bermain-main dengan mainan kucing dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook.
Lebih menggembirakan, Sinbad kini mempunyai pemilik baru – Elliot – yang sudah menubuhkan satu akaun laman sosial Instagram khas untuk si comel, menurut Huffington Post.
Akaun tersebut yang memberikan perkembangan terkini tentang proses pemulihan Sinbad setakat ini sudah pun mempunyai lebih 4,000 pengikut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments

Powered by Blogger.