Suami Lamar Ainan Tasneem Selepas Sebulan Berkenalan



SHAH ALAM – Penyanyi Ainan Tasneem memberitahu dia menerima lamaran daripada suaminya, Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi hanya selepas sebulan berkenalan.
Ainan atau Ainan Tasneem Ridzuan, 25, berkata, dia terbuka hati untuk menerima lamaran itu selepas Ariff datang bertemu dengan keluarganya selain dia mempunyai ciri-ciri yang dicari dalam diri seorang lelaki.
“Kami berkenalan selama lima bulan sebelum berkahwin tetapi selepas sebulan berkenalan dia melamar saya untuk dijadikan isterinya.
“Ketika itu saya kata padanya untuk berjumpa keluarga dan Alhamdulillah keluarga pun bersetuju dengan pilihan saya.
“Saya tertarik hati dengannya kerana perkanalan kami sangat dipermudahkan selain dia mempunyai ciri-ciri yang saya cari dalam diri seorang lelaki,” katanya kepada mStar Online.
Ainan ditemui pada majlis persandingannya yang diadakan di Hotel Blue Wave di sini, Sabtu.
Terdahulu, Ainan dan Ariff selamat bergelar suami-isteri pada petang Jumaat lalu dalam majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada pukul 5.50 petang.
Ainan menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Dalam pada itu, Ainan berkata, dia pernah berdoa ketika mengerjakan umrah pada akhir Ramadan tahun lalu agar dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang mempunyai sifat seperti bapanya.
Kata Ainan, dia menganggap pertemuannya dengan Ariff dua minggu selepas pulang mengerjakan ibadah itu sebagai doanya dimakbulkan Allah.
“Saya berkenalan dengan Ariff selepas kembali mengerjakan umrah dan itu pun selepas kami diperkenalkan oleh sahabat kami.
“Apabila mula mengenalinya saya dapati dia bukan sahaja seorang yang baik tetapi mempunyai sifat seperti ayah saya malah mereka berkongsi tarikh lahir sama.
“Doa saya untuk bertemu jodoh dengan seseorang seperti ayah saya nampaknya dimakbulkan Allah dan itu juga membuatkan saya mudah menerimanya.
“Saya juga sering berdoa dan lakukan solat Istikarah untuk meminta petunjuk dan Alhamdulillah jodoh kami kuat sehingga ke jinjang pelamin,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ainan berkata, dia nekad untuk meninggalkan bidang nyanyian dan keputusan itu sebenarnya sudah dibuat sebelum bertemu suaminya lagi.
Bagaimanapun kata Ainan, dia terbuka sekiranya ada artis yang ingin mendapatkan lagu ciptaannya.
“keputusan yang saya buat itu adalah kerana kemahuan sendiri dan Alhamdulillah keluarga dan suami pun menyokong penuh.
“Saya tidaklah akan tinggalkan bidang seni sepenuhnya tetapi akan lebih kepada kerja-kerja belakang tabir dan mencipta lagu untuk penyanyi lain.
“Malah saya juga terbuka untuk menerima sebarang tawaran pengacaraan malah saya bakal muncul dalam program Lift It Up sebagai hos untuk siaran RTM tidak lama lagi,” jelasnya yang memilih Bali, Indonesia untuk berbulan madu. – mStar Online



loading...

0 Response to "Suami Lamar Ainan Tasneem Selepas Sebulan Berkenalan"

Post a Comment