Harga Baharu Petrol, Diesel Akan Diumum Bermula Esok

Kuala Lumpur – Bermula esok, rakyat Malaysia akan menyaksikan harga bahan api di pam minyak ditetapkan setiap minggu, bukan lagi setiap bulan seperti yang dilaksanakan sejak Disember 2014.

Dengan itu, pelarasan harga bahan api, iaitu petrol dan diesel, akan diumumkan pada tengah malam setiap Rabu dan harga itu akan berkuatkuasa pada Khamis. Bagi pengguna, ini bermakna harga runcit bahan api di pam akan kekal sama atau berubah setiap Khamis.

Kaedah penetapan harga mingguan itu dikatakan perlu dalam menambah baik pelaksanaan pengapungan terkawal secara bulanan sebelum ini khasnya memandangkan harga minyak dunia berubah setiap hari. Oleh itu perubahan harga setiap bulan itu kemungkinan tidak menunjukkan harga sebenar kepada pengguna.

Mengulas perkara berkenaan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata dengan cara ini sebarang kenaikan atau penurunan harga akan berlaku dalam julat yang rendah iaitu antara 5-10 sen.

Ini lebih baik berbanding pengumuman secara bulanan yang menyebabkan perubahan harga pada julat 10-20 sen.

Namun, mekanisme pengumuman secara mingguan atau bulanan tidak banyak membawa perbezaan kepada pengguna ekoran penetapan harga yang masih berdasarkan pada harga minyak mentah dunia.

Tambahnya kebergantungan kerajaan terhadap harga minyak dunia dalam menentukan harga bahan api tempatan dibimbangi akan menjadi beban yang lebih besar kepada rakyat jika harganya terus meningkat.

“Apa yang pengguna ingin tahu ialah berapa harga minyak yang perlu mereka bayar dan sama ada kerajaan akan kawal harga minyak atau tidak? Jika kerajaan hanya mengumumkan harga secara mingguan tetapi tiada perancangan untuk mengawal harga minyak, pengguna tetap berhadapan masalah sama.

“Contohnya, harga petrol RON95 sekarang RM2.30 sudah dianggap tinggi oleh pengguna, apatah lagi jika harga semakin meningkat. Justeru, kerajaan perlu mengawal dan menetapkan harga jika ia melebihi kemampuan. Kerajaan perlu memberi subsidi bersasar bahan api khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

“Di negara lain seperti Singapura dan Hong Kong, kenaikan harga minyak bukan masalah besar bagi rakyat kerana mereka mempunyai sistem pengangkutan awam yang cekap dan sebahagian besar rakyat menggunakannya,” katanya kepada Bernama. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.