Tragis "Kotak tisu punca kemalangan maut"

KUALA BERANG – Seorang suri rumah maut setelah Perodua Axia dipandu suaminya terbabas di Kilometer 06 Jalan Gaung-Kampung Tajin, petang kelmarin dipercayai berpunca daripada kotak tisu terselit pada pedal brek kereta berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Esah Md Zin, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu yang merupakan seorang peneroka Felda Jerangau, Abd Wahab Salleh, 70, hanya mengalami cedera ringan.



Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dari arah Kampung Tajin ke Kampung Gaung gagal mengawal kenderaan.

“Pemandu kenderaan dipercayai gagal membrek kerana terdapat kotak tisu pada pedal brek kereta tersebut sebelum terbabas.

“Berikutan daripada itu penumpang kenderaan (mangsa) mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

“Kawasan lokasi melibatkan jalan berselekoh, satu lorong dua hala dengan garisan tengah berkembar berturap tar, keadaan cuaca ketika kejadian juga cerah.

“Polis ingin menasihatkan orang ramai sentiasa peka kepada aspek keselamatan semasa memandu termasuk memastikan tiada sebarang objek di bawah tempat duduk pemandu yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.