Apa yang aku nak cerita ni kisah bagaimana mamat ni menjadi jutawan dan memiliki pelbagai kereta mewah tak sampai satu tahun dimana kejadian ini berlaku sekitar tahun 1990. Apa dia buat? Macam mana 1 sen boleh menjadikan dia ni jutawan?
Pada tahun 1990, mamat ni hanya seorang eksekutif muda yang bekerja di sebuah bank dengan pendapatan kira-kira RM1800 sebulan tetapi mampu memiliki enam kereta mewah yang hanya layak dipakai oleh jutawan.
Enam kereta itu, Lamborghini Countach bernilai Rm1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502,000), Mercedes Benz 300E (RM192,000), Porsche 928 S4 (RM638,000), Porsche Carrera (RM350,000) dan BMW 329i (RM68,000).
Siapa mamat ni? Brader ni nama dia Aman Shah Ahmad, 24 tahun yang terjebak dalam jenayah kolar putih iaitu menggelapkan wang milik awam tempat dia bekerja, Hock Hua Bank di Kuala Lumpur. Dan aku tak tahu bank ni masih wujud atau tidak sekarang.
Ni bukan pelakon dan penyanyi Aman Shah yang ada tahi lalat hidup atas bibir tu. Ni orang lain yang namanya juga Aman Shah. Kau jangan salah faham. Apakehel dia ni.
Digambarkan oleh rakan-rakannya seorang yang suka berjenaka, peramah dan suka berkawan, Aman Shah juga suka membantu rakan-rakannya yang menghadapi kesusahan. Jenis tak berkira-kira. Bukan macam kau, dah makan time nak bayar, saja buat-buat lambat keluar duit dari beg, jari tersangkut poket seluar.
Bekas pelajar Sekolah St Joseph di Kuching Sarawak itu amat menggemari kereta mewah. Bagaimanapun minat yang keterlaluan dan tidak setimpal dengan kemampuan diri boleh membawa padah. Inilah yang berlaku pada Aman Shah yang terlalu teruja dengan apa yang dimiliki.
Banyak persoalan yang timbul bagaimana seorang yang lulusan perakauanan Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara UiTM) mampu memiliki deretan kereta mewah. Dia ni join MLM kah?
Selepas setahun bekerja dengan Hock Hua Bank cawangan Jalan Raja Laut dan sebagai pekerja yang rajin dan amanah menyebabkan Aman Shah dihantar mengikuti kursus komputer oleh majikannya.
Dia kemudian menyandang jawatan penting yang turut memberikan peluang kepadanya menggunakan jawatan itu dan pengetahuan yang dipelajari dari kursus komputer untuk melakukan jenayah profesional.
Semua kereta mewah dibeli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import, manakala dua lagi didaftarkan atas namanya sendiri manakala sebuah lagi atas nama teman wanitanya, Raha V V Aboo. Aneh je nama awek dia ni. Orang apa aku tak pasti.
Aman Shah memang hebat kerana menempatkan  tiga kereta mewahnya dipameran kereta eksotik di Plaza Bukit Bintang pada awal Jun 1990 dan kadang-kadang mengambil kereta paling mahal, Lamborghini Countach untuk digunakan. Dia jadikan tempat pameran sebagai tempat parking kereta supaya tidak disyaki.
Lebih mengagumkan ialah keberaniannya untuk ditemubual dalam rancangan Sekapur Sireh TV3. Dalam temubual itu, Aman Shah sudah berhenti daripada Hock Hua Bank menceritakan mengenai keistimewaan setiap kereta mewah yang dipamerkan dalam pameran itu.
Kelemahan Aman Shah ialah dia lupa diri dan merasa dirinya hebat. Ibarat pelanduk yang lupakan jerat, dia terjerat apabila pengurus Hock Hua Bank yang juga bekas ketuanya kebetulan menonton program itu yang disiarkan pada 3 Jun 1990. Time ni jugak pengurus dia tengok TV. Kalau tak pengurus dia ni tengok cerita John Travolta je.
Pengurus bank itu bukannya berasa kagum dengan kehebatan Aman Shah, tetapi syak ada sesuatu yang tidak kena dengan bekas anak buahnya yang mampu memiliki banyak kereta mewah. Dia sendiri pun tak mewah lahabau macam tu sedangkan tu adalah bank dia jaga.
Tembelang Aman Shah pecah apabila keesokkan hari, pengurus bank berkenaan membuat audit dalaman dan terkejut apabila mendapati kira-kira RM4 juta lesap daripada akaun beberapa pelanggan bank itu.
Selepas sahih perbuatan itu angkara Aman Shah, dia membuat laporan di Balai Polis Campbell pada 8 Jun 1990 dan polis tidak menunggu lama untuk mengesan Aman Shah yang ditahan tiga hari kemudian di sebuah kondominium di Bangsar.
Pengarah siasatan jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Shamsuri Arshad, ketika mengulas penahanan Aman Shah berkata, polis percaya penipuan itu dilakukan dengan memindahkan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecahkan kod keselamatan.
Selepas siasatan rapi dijalankan, Aman Shah yang ketika itu pemilik agensi periklanan Bistro, dihadapkan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, pada 25 Jun atas empat tuduhan menipu kira-kira RM4 juta wang milik Hock Hua Bank.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda.
Empat pertuduhan itu ialah pertama, menipu sebanyak RM765,343 di Hock Hua Bank Bhd, 300 Wisma Mui San, Jalan Raja Laut pada 13 Mac 1990.
Kedua, menipu RM634,656.60 di tempat yang sama pada 16 Mac 1990. Ketiga, menipu RM882,629.80 ditempat yang sama pada 23 Mac 1990 dan keempat menipu RM717,370.20 ditempat yang sama juga pada 27 mac 1990.
Bagaimana Aman Shah mencuri milik bank itu? Apa dia buat dan macam mana? Ia dilakukan dengan menipu pengurusan Bank Negara apabila mengemukakan arahan palsu melalui Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana dan Sekuriti (Speeds).
Aman Shah memindahkan hanya setiap 1 sen dari akaun pelanggan bank ke dalam akaun dia dimana tiada siapa pun sedar kehilangan nilai 1 sen termasuk kita sendiri dimana kita hanya tengok buku akaun atau akaun bank untuk melihat nilai hadapan sahaja.
Timbalan Pendakwaraya Zainal Adzam Abdul Ghani, menyifatkan Aman Shah sebagai seorang yang merancang perbuatan jenayah dengan teliti dan menggunakan penipuan yang canggih dan unik.
Hakim Abdul Rahman Abdol, menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dan dua penjamin, tetapi Aman Shah tidak mampu membayarnya dan kemudian di hantar ke Penjara Pudu. Dia tak mampu bayar sebab duit tadi dia buat beli kereta mewah. Bukan simpan duit dalam beg golf macam menteri-menteri.
Bagaimanapun sebelum itu, mahkamah digemparkan dengan kenyataan peguam Aman Shah, Mohamad Shafee Abdullah, bahawa anak guamnya dipukul berdasarkan kecederaan kepala selepas pemeriksaan x-ray di hospital.
Zainal Adzam menyangkal dakwaan bahawa polis memukul Aman Shah ketika ditahan reman selama dua minggu. Sebaliknya dia menerangkan bahawa Aman Shah sendiri yang meminta dihantar ke hospital kerana terjatuh ketika hendak bersembahyang di sel penjara. Jilake Aman Shah, kau terpijak sabun ke?
Ketika perbicaraan awal, mahkamah diberitahu bahawa Aman Shah membeli kereta secara tunai atau cek tunai enam kereta mewah itu, manakala sebuah kereta melalui pembiayaan kewangan.
Katanya, semua pembelian berlaku dalam tempoh tiga bulan di Naza Motor Trading Sdn Bhd di Jalan Raja Muda, kampung Baru Kuala Lumpur.
Jurujual Zalnas Motor Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Naza Motor, Ariffin Mohd Hani berkata, kereta itu dibeli antara Februari hingga Mei 1990.
Menurutnya Aman Shah pertama kali datang ke pejabat syarikat itu pada 13 Februari 1990 untuk membeli Mazda Savanna dengan membayar wang pendahuluan secara tunai sebanyak RM57,800.
Keesokkan hari, Aman Shah melangsaikan baki harga kereta itu dengan membayar RM50,000 juga secara tunai. Dia semua main tunai sahaja. Bila beli secara pinjaman, sudah tentu terdedah penyata bank dia.
Antara faktor menarik yang didedahkan ialah dua kereta, lamborghini Countach dan Porsche Carrera tiba di Malaysia melalui penghantaran khas menggunakan kapal terbang dari London, manakala BMW 329i adalah kereta terpakai.
Pegawai penyiasat kes, Inspektor K.Muthukumar, pula memberitahu selepas menahan Aman Shah, dia bersama pasukannya merampas ketiga kereta yang masih belum didaftarkan, Lamborghini, Porsche Carrera dan Mercedes benz di Zalnas Motor.
Itulah kisah seorang lelaki yang bernama Aman Shah jutawan 1 sen yang amat popular sekitar tahun 1990. Aku tak tahu sekarang dia dimana walaupun aku dengar cerita dia diambil bekerja dengan Bank Negara.
Duit tak berkat memang cepat hilang dan bila rasa hebat berbanding orang lain, kita akan mula ada sifat lupa diri dan mula untuk menunjuk-nunjuk. So, kalau nak jadi jutawan yang diberkati, ada caranya. Bukan dengan mencuri walaupun hanya 1 sen.
Sumber: hafizmansor