Lelaki dipenjara 3 tahun guna duit palsu beli petai

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas menggunakan wang palsu bernilai RM100 untuk membeli petai bulan lalu.

MELAKA – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan sekeping wang palsu bernilai RM100 untuk membeli petai pada bulan lalu.


Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh M.S.M Krisnan, 30, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan sekeping wang palsu RM100 dengan No siri AF 1811083 untuk pembelian petai dengan mengetahuinya sebagai wang palsu.


Kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 2.15 petang di Pasar Batang Tiga, Pantai Klebang pada 15 April lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu 17 April lalu. – Kosmo

No comments

Powered by Blogger.