Punca Sebenar Pelawak Mat Over Tampar David Teo Depan Najib



PUTRAJAYA:  Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN2015) pada Rabu kecoh selepas pelawak Mat Over menampar produser filem David Teo di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Insiden itu berlaku ketika majlis dialog berlangsung apabila David dilihat mahu  memberi pendapatnya dan pengacara Datuk Rosyam Nor membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.
David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator.
Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan sehinggalah pelawak Mat Over atau Sulaiman Yassin muncul lalu menampar muka David.
Dalam video yang menjadi tular di laman sosial itu, kedengaran suara Mat Over  yang tidak berpuas hati terhadap sikap David itu kerana bercakap kurang sopan di hadapan Najib sebelum menamparnya.
Situasi itu mengejutkan hadirin yang hadir sebelum ia ditenteramkan oleh orang ramai.
Majlis dialog kemudian diteruskan seperti  biasa.
Sesi berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Perdana Ummah dan diadakan di kediaman Najib di Putrajaya.
Dianggarkan kira-kira 300  penggiat seni daripada pelbagai latar belakang termasuk pemimpin persatuan menghadirinya.
Bagaimanapun pada akhir sesi, Rosyam memanggil Mat Over dan David di pentas untuk meminta maaf dan mereka bersalaman.
Kedua-duanya turut berbuat demikian kepada Najib.

Sumber: mstar

No comments

Powered by Blogger.