MAINS Tarik Tauliah Ceramah PU Azman



Juara Pencetus Ummah (PU) musim ke-2, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, dilaporkan kini telah ditarik balik tauliah memberi ceramah agama dan motivasi yang diberikan kepadanya sejak tahun lalu, oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sinar Harian melaporkan, tindakan itu diambil selepas pihak Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menerima banyak aduan berhubung ceramah disampaikan oleh Azman yang dikatakan tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan Mazhab Shafie.
“Azman mendapat tauliah pada tahun 2015 selepas dia lulus sesi temuduga diadakan dan ia sah dalam tempoh tiga tahun.

“Tapi kita menerima banyak aduan berhubung pengisian ceramah disampaikan olehnya. Keputusan menarik balik tauliah diberikan selepas semakan dan siasatan dilakukan,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Mufti Negeri Sembilan itu berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai surat yang menjadi tular berhubung makluman penarikan tauliah mengajar oleh PU Azman.
Oleh yang demikian, semua pihak termasuk masjid, surau dan sekolah di negeri tersebut diminta agar tidak lagi menjemput penceramah berkenaan.

Dalam pada itu, kepada pihak yang ingin menjemput mana-mana penceramah agama termasuklah dari prgram realiti dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu status tauliahnya dengan MAINS bagi mengelakkan masalah berbangkit.

“Bukan sahaja penceramah tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan, tapi termasuk juga penganjur. Jika penceramah luar misalnya, penganjur perlu mohon kebenaran khas daripada Jabatan Mufti.

“Jangan fikir penceramah itu sudah dikenali ramai atau popular, tak perlu ada tauliah atau mohon kebenaran khas. Begitu juga dengan pendakwah keluaran program realiti agama, jangan ingat itu lesen untuk mereka bebas berceramah di negeri ini,” katanya lagi. – Sumber: Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.