Kenapa DAP resah?

loading...
KUALA TERENGGANU: Sikap DAP yang mempersoalkan kemasukan bekas ahli UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat sebagai sengaja mahu menguji dan menyekat pembesaran BERSATU, supaya keseimbangan kuasa dalam PH tidak berubah.

Pengerusi BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, berkata tindakan DAP menunjukkan parti itu gusar dengan perkembangan berkenaan apabila menganggap ia berbahaya kepada Pakatan Harapan (PH).



Beliau berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas dan sikap DAP itu dilihat sengaja mahu menguji dan menyekat pembesaran BERSATU supaya keseimbangan kuasa dalam PH tidak berubah.

Beliau berkata, DAP tidak boleh menidakkannya kerana perkara sama berlaku kepada parti itu sebelum ini ketika DAP masih di peringkat awal dan menerima kemasukan pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

“Kemasukan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam DAP turut berlaku. Apa bezanya dengan kemasukan pemimpin UMNO ke dalam BERSATU?

“DAP juga pernah menerima kemasukan dua bekas pemimpin UMNO ke pada awal 2012. Malah, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin UMNO serta PKR, kini menjadi ahli DAP.

“Dua bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Lajim Okin dan Wilfred Bamburing iaitu Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun juga menyertai pembangkang pada Ogos 2012, tetapi DAP hanya membisu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razali juga mempersoalkan kenapa pemimpin DAP bimbang dengan kemasukan pemimpin UMNO ke dalam PH khususnya ke dalam BERSATU.

“Apakah mereka bimbang semakin ramai ahli parlimen yang menyertai BERSATU akan menyebakan suara orang Melayu Islam semakin kuat di Parlimen?

“Memang benar BERSATU akan menjadi semakin kuat kalaupun tidak menerima kemasukan pemimpin UMNO. Parti ini semakin diterima baik oleh masyarakat Melayu Islam.

“Namun sekiranya peluang dan ruang sudah siap terbuka untuk BERSATU mampu menambahkan jumlah anggota Dewan Rakyat melalui ‘proses lompat parti’, kenapa pula peluang ini mahu dibiarkan ? Apakah cara sebegini boleh dianggap memperbesarkan parti melalui ‘pintu belakang’?” katanya.

Razali berkata, tindakan pemimpin DAP menggelar pemimpin UMNO yang menyertai BERSATU sebagai ‘sampah’ dan ‘tidak berguna’ adalah tuduhan tidak wajar kerana mereka adalah pilihan rakyat dan bukan dilantik.

“Memanglah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu (PRU-14), mereka yang meninggalkan parti termasuk UMNO digelar ‘katak’, tetapi suasana dan kepentingan politik pasca PRU-14 sudah berubah.

“Bolehkah hanya kerana pemimpin UMNO yang digelar pembelot, termasuk daripada kalangan UMNO Sabah yang melompat keluar daripada UMNO boleh dianggap sebagai ‘katak’ apabila cuba menyertai BERSATU?” katanya.

DAP Selangor semalam mengingatkan Perdana Menteri, supaya tidak mengambil pemimpin ‘katak’ merujuk kepada ahli UMNO Sabah yang keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, beliau juga pernah mendengar Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’ sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.

Sumber: bharian
loading...

No comments

Powered by Blogger.