Soalan : Bolehkah Anak Luar Nikah Di'Bin'kan Selain Dari Nama Abdullah? Ini Jawapannya.
loading...
Ustaz, jika seorang perempuan mengandung anak luar nikah tetapi dia berkhawin dengan lelaki yang mengandungkan dia, adakah anak itu masih di kira anak luar nikah dan kepada siapakah anak itu harus berbin atau berbintikan? Adakah berbin atau berbintikan lelaki tersebut(yg mengandungkan perempuan itu) atau abdullah?
Jawapan:
Ya, dikira anak luar nikah. Walaupun
mereka berdua berkahwin, tetapi persetubuhan yang menyebabkan kandungan
itu berlaku sebelum akad perkahwinan mereka. Jadi ia bukan anak hasil
dari pernikahan, tetapi hasil dari zina. Anak zina tidak harus dibinkan
kepada bapanya kerana ikatan nasab mereka berdua tidak diiktiraf oleh
Syarak. Ia hendaklah dibinkan kepada ibunya atau dibinkan kepada
Abdullah (hamba Allah).
Di dalam hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi
penzina pula ialah al-Hajr” (HR Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Maksud
hamparan di dalam hadis di atas ialah isteri dan pemilik hamparan ialah
suami. Di dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. telah menetapkan satu
arahan agama iaitu anak hanya boleh dinasabkan kepada lelaki yang
memiliki ikatan perkahwinan yang sah dengan ibu yang melahirkan anak
itu.
Berkata ulamak; apabila seorang lelaki memiliki seorang
wanita sebagai isteri atau hambanya (di mana mereka ibarat hamparan
untuknya), apabila isteri/hamba itu melahirkan anak dalam tempoh yang
tidak mustahil bagi kelahiran itu, maka anak itu akan dinasabkan
kepadanya dan akan berlaku antara dia dan anak itu perwarisan dan
hukum-hakam lain yang berkait dengan kelahiran, sama ada anak itu ada
mirip/keserupaan dengannya atau berbeza dengannya.
Adapun penzina pula, Rasulullah berkata “baginya al-Hajr”. Al-Hajr ada dua tafsiran dari ulamak:
Ia bermakna batu; yakn penzina habuannya ialah direjam dengan batu.
Bermakna
khaibah yang bermakna kecewa atau putus asa. Penzina baginya kekecewaan
dan putus asa kerana kerana tidak ada hak baginya terhadap anak yang
lahir sekalipun anak itu dari benihnya.
Rujukan
Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab ar-Radha’, juz. 10, bab al-Walad Lil-Firaysh.
An-Nihayah Fi Gharib al-Hadith Wa al-Athar, Imam Ibnu Athir.
Ahkam al-Aulad Fil-Islam, Zakaria Ahmad al-Barri, hlm. Hlm. 12.
Soal jawab agama bersama Ust Ahmad Adnan Fadzil, Penasihat Akademik Maahad Darul Faizin.
Wallahu a’lam
Jafri Abu Bakar Mahmoodi
Maahad Darul Faizin
loading...
Post a Comment